Wednesday, November 10, 2010

LINUS - Modal Insan

Pengenalan

Program Literasi dan Numerasi (LINUS) akan mula dilaksanakan mulai 2010 hingga 2012 di seluruh negara. Program LINUS yang bertujuan memastikan semua murid Tahun 1 pada 2010 dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis (literasi) dan mengira (numerasi) selepas tahun 2012, iaitu berada di Tahun 4. Pelaksanaan program LINUS ini merupakan sebahagian daripada NKRA Kementerian Pelajaran Malaysia yang disasarkan menjelang tahun 2012. Sehubungan itu, semua guru Tahun 1 yang mengajar Bahasa Melayu dan Matematik diwajibkan mengikuti kursus pengajaran dan pembelajaran modul LINUS mulai tahun 2010. Kursus tersebut yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru, KPM akan dilaksanakan di seluruh negara mengikut zon negeri masing-masing.

Apa itu Linus?

Linus dengan kata lain “Literacy and Numeracy Screening”, merupakan satu program pemulihan yang dimurnikan dan direka bentuk semula bagi murid-murid tahun satu. Hal ini untuk membentuk satu program pemulihan yang lebih lengkap, mantap dan berkesan. Linus dengan kata lain adalah literasi dan numerasi untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik. Hal ini bertujuan untuk mengurangkan malahan mengsifarkan buta huruf dan kemahiran-kemahiran asas dalam matematik. Program ini dimulakan di semua sekolah sejak tahun 2010. Semua guru tahun satu diwajibkan untuk menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.

Konsep Linus

National Key Results Areas (NKRA’s) menyasarkan bahawa semua murid berkeupayaan menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012 iaitu dari tahun satu hingga tahun tiga. Semua murid kecuali berkeperluan khas berkeupayaan menguasai asas literasi dan numerasi setelah tiga tahun mengikuti pendidikan rendah tahap satu di akhir tahun 2012.

Rasional Penggubalan

LINUS mula dilaksanakan pada tahun 2010. Hal ini adalah hasil kajian yang mana masih terdapat lebih kurang 13% (54,000) murid Tahun 1 yang tidak menguasai 2M iaitu Membaca dan Menulis. Perkara ini dianggap amat serius kerana apabila melangkah ke Tahap 11, masih terdapat murid –murid yang tidak menguasai 3M – Membaca, Menulis dan Mengira. Dapatan menunjukkan murid-murid yang tidak menguasai 3M akan menyumbang kepada peningkatan kadar keciciran di sekolah, selain meningkatkan masalah disiplin. Selain itu, murid-murid yang tidak menguasai 3M dari peringkat awal akan menyebabkan berlakunya kegagalan akademik secara kumulatif dan perkara ini amat sukar diperbaiki apabila berada di peringkat lebih tinggi. Menyedari perkara ini, maka penekanan diberikan kepada penguasaan 3M untuk murid Tahun 1 sehingga Tahun 3.

Program LINUS diperkenalkan supaya masalah murid yang tidak menguasai 3M akan dapat diatasi dan saringan yang dijalankan dalam program ini adalah untuk mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi oleh seseorang kanak-kanak sama ada mempunyai masalah pembelajaran atau murid keperluan khas. Masalah murid yang tidak mempunyai masalah pembelajaran yang masih belum menguasai kemahiran asas 3M belum dapat diatasi dengan baik, walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan pelbagai program pemulihan. Antara program tersebut ialah program KIA2M untuk tahun satu, pemulihan khas untuk tahun dua dan tiga, sementara program PROTIM pula untuk tahun empat, lima, enam dan selepas UPSR. KPM berpendapat satu pendekatan yang bersepadu perlu dilaksanakan supaya masalah literasi dan numerasi dapat dikesan dan dipulihkan seawal tahap pendidikan di sekolah

.

Strategi Pelaksanaan

Program Linus wajib dilaksanakan di semua sekolah rendah iaitu SK, SJKC, SJKT, SABK. Terdapat tiga saringan setiap tahun iaitu saringan 1 (Mac), Saringan 2 (Jun), dan saringan 3 (September). Semua murid tahun satu akan menduduki ujian Linus saringan 1 untuk melihat tahap penguasaan kemahiran asas mereka pada awal tahun setiap tahun. Program ini dilaksanakan oleh guru Bahasa Malaysia, Matematik dan Pemulihan.

Literasi dan Numerasi

Literasi adalah keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi harian di samping menggunakan pendekatan belajar membaca dan menulis secara bersepadu dan menyeluruh. Literasi akan melalui proses secara bersepadu, ansur maju, didik libur, gabung jalin kemahiran dan pengulangan. Semua modul pengajaran telah disediakan oleh KPM dan Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK). Objektif Program Literasi adalah memastikan pada akhir program Pencapaian Literasi , murid dapat :

i. Mengeja dan membunyikan suku kata terbuka dan tertutup.

ii. Membaca dan menulis perkataan daripada suku kata terbuka dan tertutup dan

perkataan yang berimbuhan awalan dan akhiran

iii. Membaca dan menulis serta memahami ayat tunggal dan ayat-ayat majmuk yang

mudah dengan menggunakan kata hubung “dan'

Numerasi pula merupakan operasi asas matematik (tambah, tolak, darab dan bahagi) digubal khusus bagi menangani masalah yang dihadapi murid dalam menguasai kemahiran asas mengira serta memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik dalam kehidupan harian.

Kandungan program telah dipilih dan disusun supaya dapat memberi pengalaman yang cukup kepada murid untuk membina asas yang kukuh dalam membuat pengiraan dan seterusnya membolehkan mereka mengikuti pembelajaran Matematik dengan lebih bermakna dan berkesan. Objektif Program Numerasi adalah memastikan murid berupaya:

i. menyebut, menulis, membilang, menyusun, menentukan nilai digit dan tempat

bagi nombor hingga 1000

ii. menguasai fakta asas tambah

iii. menguasai fakta asas tolak

iv. menguasai fakta asas darab

v. menguasai fakta asas bahagi

vi. mengaplikasikan pengetahuan operasi asas aritmetik yang mudah dalam wang,

menyatakan masa dan waktu serta bentuk tiga dimensi dan bentuk dua dimensi.

Literasi dan numerasi yang diperkenalkan menggunakan modul-modul untuk guru dan murid dirancang dengan teliti bagi mencakupi semua isi pelajaran dan kemahiran yang telah dibentuk oleh BPK. Perancangan yang dijalankan telah dikaji secara menyeluruh dan dijalankan secara bersepadu dan ujian saringan dijalankan secara berperingkat. Hal ini adalah untuk melihat keberkesanan perjalanan program Linus ini.

Modal Insan

Modal insan mengikut Kamus Dewan (2005), merupakan modal yang ada pada seseorang insan seperti ilmu pengetahuan, kekuatan mental, fizikal dan rohani. Manusia dilihat sebagai modal yang dinamakan modal insan dan merupakan aset tenaga yang sungguh penting dan bermakna kepada kegiatan ekonomi dan pembangunan negara. Menurut Sidek Baba (2009) pula;

“Modal insan mengaitkan potensi manusia sebagai sumber kemajuan dan

perubahan. Lazimnya orang mengaitkan faktor modal itu adalah wang,

harta, saham, pelaburan juga bisnes. Tetapi modal insan juga memberi

kesan kepada modal kerana dari manusia boleh dijana pemikirannya dan

dari pemikirannya yang berkembang akan terhasil ilmu. Dari manusia

memiliki keahlian dan kepakaran dan darinya ia menyumbang ke arah

penyelidikan dan pembangunan.”

Modal insan yang diwar-warkan adalah kehendak kerajaan bagi membentuk dan menghasilkan warganegara yang mempunyai modal insan dari sudut sahsiah yang terpuji, menghayati sistem kepercayaan berfalsafah dan berprinsip. Di samping itu jua kerajaan modal insan yang dibentuk mempunyai integriti iaitu ada wawasan, perancangan yang rapi, keterampilan diri, pemantauan dan adab serta akhlak terpuji. Dengan kata lain, Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Dalam konteks lebih luas, modal insan mencorak hala tuju negara ke arah wawasan yang disasarkan. Tanpa sumber manusia berkualiti, sesebuah negara akan lemah kerana ketiadaan faktor manusia yang menjadi pencetus kepada inisiatif baru dalam kegiatan sosioekonominya. Untuk memahami maksud pembangunan sumber manusia, kita perlu jelas atau tahu matlamat kewujudan unsur terpenting yang hendak dibangunkan iaitu manusia itu sendiri. Pihak kerajaan memandang jauh ke depan dan merangka satu perancangan dari akar umbi bagi mencapai impian tersebut. Linus merupakan perancangan jangka panjang kerajaan dalam menyediakan modal insan terhadap keperluan negara dan global.


Y.A.B. Mantan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang telah mencetuskan revolusi idea dalam memberi penekanan terhadap usaha membangunkan Modal Insan sebagai satu landasan kecemerlangan generasi hadapan. Generasi hadapan merupakan aset insani Malaysia yang paling penting dalam usaha Kerajaan merealisasikan kewujudan sebuah Negara Bangsa yang Maju, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang menjelang Wawasan 2020. Secara tidak langsung Linus yang dilaksanakan merupakan generasi masa depan yang akan menjadi aset kepada pembangunan dan kecemerlangan negara. Linus akan membekalkan aset yang celik huruf dan celik nombor dalam merealisasikan kehendak negara untuk menjadi negara maju.

Kepentingan modal insan adalah untuk membangunkan dan memberi ilmu pengetahuan yang secukupnya, kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa yang berpekerti mulia, mempunyai hemah yang tinggi, berjiwa besar, cintakan negara dan mereka mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani. Kita mestilah menjadi rakyat yang cintakan negara ini, rakyat yang bersemangat, bersedia bekerja dengan kuat, bekerja dengan rajin serta menjadi rakyat yang mengamalkan budi bahasa yang bermutu tinggi. Program Linus yang diajar secara bersepadu dan gabung jalin dengan komponen lain menjadikannya mantap dalam semua sudut.

Pembangunan Modal Insan Melalui Linus

Modal insan merupakan pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara dan menjadi teras kepada inovasi dan ekonomi berpendapatan tinggi yang produktif. Tidak ada negara mampu mencapai kemajuan tanpa memiliki modal insan cemerlang yang berkemahiran tinggi, boleh bertindak balas dengan pantas dan kreatif terhadap perubahan ekonomi, dan berpaksikan kepada penjanaan dan penggunaan pengetahuan. Oleh itu, membangun, menarik dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia merupakan prasyarat penting bagi mencapai hasrat negara.

Kelayakan pendidikan yang tinggi bagi menyokong pembangunan pengetahuan dan inovasi, tahap kemahiran yang tinggi dalam bidang teknikal dan profesional, serta paras produktiviti yang tinggi adalah antara ciri utama modal insan dan tenaga kerja negara berpendapatan tinggi. Berdasarkan ciri ini, usaha perlu ditumpukan bagi mencapai tahap modal insan bertaraf dunia menjelang tahun 2020.

Kerajaan telah memperuntukkan RM400 juta untuk Program Penyaringan Literasi dan Numerasi (Linus) antara tahun 2010 dan 2012 bagi memastikan semua pelajar memiliki kemahiran asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun pertama di sekolah rendah. LINUS dilaksana bagi merapatkan jurang pencapaian bagi pelajar yang ketinggalan dalam pembelajaran dan meningkatkan pencapaian sekolah berprestasi rendah. Langkah ini akan memastikan setiap pelajar di Malaysia boleh berjaya bagi pembentukan modal insan yang boleh dibanggakan.

Pembangunan modal insan bertaraf dunia di Malaysia memerlukan usaha yang komprehensif dan bersepadu daripada sektor awam dan swasta serta masyarakat. Sehubungan ini, kolaborasi antara pelbagai kementerian dan sektor swasta perlu diperkukuhkan untuk meningkatkan keberkesanan pembangunan modal insan dan memanfaatkan semua lapisan masyarakat. Pendekatan holistik akan memenuhi keperluan setiap rakyat Malaysia di sepanjang peringkat kehidupan. perkara terpenting untuk menarik pelaburan asing bukanlah kerana sesebuah negara itu mempunyai golongan elit atau rakyat yang terpelajar.

Faktor yang utama kejayaan sesebuah negara ialah golongan pekerja khususnya yang mempunyai tahap literasi yang tinggi, budaya kerja yang positif dan potensi mendapatkan pengetahuan bagi membentuk kemahiran-kemahiran baru. Pengaruh ketiga-tiga elemen ini sangat ketara kerana pekerja yang berupaya menerapkan budaya ilmu dan mahir dalam bidangnya adalah mereka yang akan menghasilkan produk berkualiti seperti yang dikehendaki oleh syarikat-syarikat luar yang membuat pelaburan. Inilah keputusan pertama yang akan difikirkan dan isu utama yang diberi penekanan oleh pelabur luar negara.


Generasi muda Malaysia pada hari ini memperuntukkan masa yang lebih lama di sekolah iaitu 11.5 tahun. Oleh itu, asas pendidikan formal yang dilaksanakan kini oleh kerajaan sangat memberangsangkan kerana 95 peratus daripada rakyat negara ini celik huruf. Pertambahan bilangan institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan turut mempercepatkan proses pembangunan modal insan kerana rakyat yang terpelajar adalah kunci kepada pembentukan negara maju pada tahun 2020 nanti.

Peningkatan kadar literasi dan numerasi adalah penting untuk mengurangkan kadar keciciran pelajar berpunca daripada ketidakupayaan mereka untuk mengikuti pembelajaran. Dengan penguasaan kemahiran literasi dan numerasi asas yang kukuh pada peringkat awal persekolahan, kemungkinan berlaku keciciran pelajar daripada sistem persekolahan dapat dikurangkan. Penguasaan literasi dan numerasi di peringkat awal sangat penting kerana tanpa kemahiran ini mereka akan menghadapi kesukaran mengikuti pembelajaran di peringkat selanjutnya. Program Penyaringan Literasi dan Numerasi (LINUS) adalah bertujuan untuk memastikan semua pelajar menguasai asas kemahiran literasi dan numerasi selepas tiga tahun pertama pendidikan sekolah rendah. Program LINUS memberi tumpuan kepada intervensi awal dengan menempatkan fasilitator dan guru pemulihan terlatih di sekolah. Sehingga kini, seramai 15,500 fasilitator dan guru pemulihan telah pun dilatih.

Kesimpulan modal insan Pembangunan modal insan merupakan elemen asas dan kritikal dalam mentransformasikan ekonomi Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi. Untuk mencapai daya saing yang tinggi di peringkat global dan ekonomi berasaskan inovasi, pendekatan yang sistematik dan menyeluruh untuk membangun, menarik dan mengekalkan modal insan berkepakaran tinggi negara diperlukan. Malaysia perlu merapatkan jurang untuk mencapai modal insan berkepakaran bertaraf dunia. Kerajaan akan melaksanakan perubahan menyeluruh di setiap tahap pembangunan modal insan sepanjang kitaran hayat, iaitu daripada menambah baik pendidikan awal kanak-kanak sehingga peningkatan kemahiran tenaga kerja sedia ada. Modal insan berkemahiran tinggi merupakan asas terpenting bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi. Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia untuk Malaysia amat memerlukan usaha yang tekal, terselaras dan berfokus supaya kepelbagaian dapat dimanfaatkan ke peringkat antarabangsa serta untuk memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan berkemahiran tinggi di Malaysia.

Pembangunan modal insan sangat baik namun dari satu segi kita bimbang terlalu menumpukan kepada modal insan. Hal ini akan menyebabkan pendidikan ilmu pengetahuan akan terpesong dek kerana penekanan modal insan bermakna mementingkan peperiksaan semata-mata dan kecemerlangan diukur melalui peperiksaan dan prestasi tinggi dalam ujian. Bak kata pepatah ita memiliki teknologi, tetapi hilang hubungan sosial dan akal budi. Kita berjaya membangunkan insan tinggi intelek, tetapi rendah nilai keinsanan. Kita berjaya membangunkan insan celik S&T, tetapi buta agama dan budaya. Kita berjaya membangunkan alam, tetapi mematikan insan. Kita berjaya memerdekakan negara, tetapi memiliki jiwa hamba. Kita kaya dengan harta, tetapi miskin dengan akal budi. Kita berjaya mengurus dunia, tetapi daif dalam mengurus untuk ke akhirat.


Program Linus Merupakan Satu Pendemokrasian Pendidikan

Mengikut Kamus Dewan (2007), pendemokrasian bermakna peluang, tindakan atau proses manakala pendidikan bermaksud mendidik dengan ilmu pengetahuan. Pendemokrasian Pendidikan bermaksud memberi peluang-peluang yang sama rata bagi setiap individu dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang disediakan oleh sesuatu sistem pendidikan di sesebuah negara. Setiap warganegara wajib diberi keutamaan dalam sistem pendidikan antaranya;

i Setiap orang berhak mendapat pendidikan. Pendidikan harus bebas sekurang-kurangnya pada peringkat asas dan peringkat dasar dan harus pula bersifat wajib.

ii Pendidikan harus diarahkan kepada perkembangan sepenuhnya dari keperibadian kemanusiaan kepada memperkuatkan rasa hormat hak-hak kemanusiaan dan kebebasan.

iii Orang-orang tua berhak untuk lebih dahulu memilih jenis pendidikan yang harus diberikan kepada anak-anak.

Pernyataan ini memberi maksud bahawa kerajaan hendaklah memberikan seluas-luasnya
ruang kepada pelbagai pihak untuk menerima pelbagai jenis pendidikan yang
dikehendaki asalkan tidak bercanggah dengan dasar dan polisi yang telah ditetapkan oleh
kerajaan. Satu asas yang paling penting perlu ditekankan di sini ialah pihak kerajaan
mestilah mempunyai rasa tanggungjawab yang besar untuk membuka ruang dan
mempelbagaikan bentuk pendidikan kepada rakyat agar proses pembentukan pendidikan
terus dapat diperkaya dengan semaksima mungkin. Konsep inilah juga yang
mengekalkan sekolah jenis kebangsaan cina, tamil sehingga ke hari ini di dalam Dasar
Pendidikan Kebangsaan.

Program Linus Merupakan Satu Pendemokrasian Pendidikan

Pendemokrasian pendidikan merupakan satu elemen yang penting dalam membangunkan pendidikan di Malaysia. Kerajaan sangat mementingkan kepada keadilan sejagat dalam bidang pendidikan yang mana membolehkan semua pihak mendapat faedah dan juga kemudahan yang sama rata untuk belajar di mana-mana institusi pendidikan.

Konsep pendemokrasian pendidikan menjamin keadilan untuk semua pihak untuk mendapat pendidikan yang sama dengan orang lain. Konsep pendidikan untuk semua bukanlah sekadar meliputi peluang yang sama untuk mendapat pendidikan semata-mata tetapi pendemokrasian pendidikan yang dihajati haruslah juga merangkumi peluang bagi semua individu untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti. Dengan lain perkataan, tidak harus wujud sebarang perbezaan dan diskriminasi di mana-mana peringkat masyarakat dari segi peluang dan mutu dalam pelaksanaan sistem pendemokrasian pendidikan negara.

Oleh yang demikian, sistem pendidikan haruslah memastikan tidak ada mana-mana golongan di negara ini yang tercicir dari memperolehi peluang untuk mendapat pendidikan yang bermutu kerana jika keadaan sedemikian berlaku maka kemajuan yang akan dikecapi pada tahun 2020 pastinya pincang. Justeru itu, program LINUS yang dilancarkan merupakan salah satu kaedah dan pendekatan bagi memastikan bahawa semua murid berhak mendapat pendidikan yang bermutu dan memastikan semua murid tidak mempunyai masalah pembelajaran serta berkeupayaan menguasai asas literasi dan numerasi.

Kerajaan telah memperkenalkan suatu program pendidikan hasil penambahbaikan daripada program KIA 2M yang diberi nafas baru dengan nama LINUS. Program LINUS adalah singkatan dari Literacy & Numeracy Screening di mana Minister Key Performance Indicators (MPKI). Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012.

Literasi adalah kebolehan untuk membaca, menulis dan memahami
perkataan, ayat tunggal dan majmuk yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan
tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi harian. Manakala Numerasi adalah kebolehan untuk melakukan operasi asas matematik serta memahami idea matematik yang mudah dan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik dalam kehidupan seharian.

Program LINUS merupakan salah satu daripada National Key Result Area (NKRA’s) Kementerian Pelajaran Malaysia. Melalui program ini, kementerian telah menyasarkan bahawa semua murid yang tiada masalah pembelajaran berupaya menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira selepas mengikuti pendidikan tiga tahun di peringkat rendah pada akhir tahun 2012.

Program ini dilaksanakan pada tahun 2010, melibatkan murid Tahun Satu di sekolah rendah yang merupakan kohort pertama mengikuti program ini. Semua murid Tahun Satu akan menduduki ujian LINUS Saringan 1 pada awal tahun untuk menilai tahap penguasaan kemahiran asas literasi dan numerasi mereka. Murid yang dikenal pasti masih belum mencapai kemahiran asas literasi dan numerasi, akan diasingkan daripada murid arus perdana (dalam kumpulan tidak melebihi 30 orang). Mereka akan diajar insentif oleh guru LINUS (guru Bahasa Malaysia dan guru Matematik Tahap 1) serta dibantu oleh guru pemulihan khas LINUS dan dilaksanakan dalam waktu Bahasa Malaysia dan waktu Matematik mengikut peruntukan waktu sedia ada. Murid yang berjaya dipulihkan melalui program ini, akan meneruskan pembelajaran di aliran perdana.

Pihak Kementerian Pelajaran telah merancang beberapa strategi untuk memastikan program LINUS ini dilaksanakan dengan baik dan tidak membebankan pihak sekolah. Antaranya memberi latihan khusus kepada guru LINUS dalam teknik pemulihan dan bimbingan untuk membantu murid yang mempunyai masalah literasi dan numerasi, menyediakan modul pengajaran dan pembelajaran asas literasi dan numerasi yang sesuai dengan tahap kebolehan murid, penambahan guru pemulihan khas, melaksanakan program kesedaran tentang pentingnya asas membaca, menulis dan mengira dalam kalangan warga sekolah dan komuniti, menjalankan pemantauan, penyeliaan dan penilaian serta menempatkan fasilitator LINUS di setiap Pejabat Pelajaran Daerah untuk membantu guru bagi memastikan program ini berkesan dan mencapai matlamatnya.

Pendekatan dan pelaksanaan pendemokrasian pendidikan dalam sistem pendidikan di negara kita kebanyakkan adalah didorong oleh reformasi-reformasi pendidikan. Justeru itu, dari segi pendekatan, pelaksanaan serta amalannya, reformasi-reformasi pendidikan dalam sistem pendidikan negara selama ini adalah juga merupakan salah satu isu yang berkait amat rapat dengan pendemokrasian pendidikan.

Dalam lipatan sejarah pendidikan negara, sistem pendidikan kita telah mengalami beberapa kali reformasi terutamanya selepas Negara mencapai kemerdekaan. Hal ini bertujuan untuk penambahbaikan lagi sistem pendidikan sedia ada mengikut peredaran masa dan arus pemodenan. Kerajaan sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan mutu pendidikan negara melalui program-program yang diperkenalkan seperti LINUS. Melalui pendemokrasian pendidikan, program LINUS dapat memberi peluang kepada semua murid lemah mendapat pendidikan sewajarnya supaya mereka tidak ketinggalan dalam menikmati peluang-peluang pendidikan yang disediakan di negara ini.

­­­Peluang-peluang pendidikan bukan sahaja diberikan kepada murid yang bijak, tetapi murid-murid yang lemah dan lambat menguasai kemahiran asas tidak diabaikan sama sekali. Murid-murid ini dibimbing dan dibentuk supaya mereka juga dapat bersaing dengan murid-murid yang pintar. Hal ini menunjukkan bahawa program LINUS adalah merupakan satu daripada pendemokrasian pendidikan Negara


Rujukan

____. (2005). Kamus Dewan-Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Aziz Yahya. (2009). Modal Insan: Membentuk Keluarga Cemerlang. Johor Baru: Universiti

Teknologi Malaysia.

Amir Hassan Dawi (2002). Sosiologi dan Pendidikan. Tanjung Malim: Quantum Books

Fatimah Daud (1992). Pengenalan Teori-teori Sosiologi. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Hazil Abdul Hamid (1990). Sosiologi Pendidikan-Dalam Perspektif Pembangunan Negara.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Linus Buletin SKPA. Dipetik pada 09 Oktober 2010, dari www.skpa-bgnpinang.net/v2/.../blog-

skpa.html

Sidek Baba. (2009). Acuan Minda. Kuala Lumpur: Penerbitan Alaf 21.

T Marimuthu (1990). Pengenalan Sosiologi Pendidikan. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti.

No comments:

Post a Comment